Hafiz Rashid & Co

Penubuhan Syarikat Sendirian Berhad

Oleh: TAUFIK MOHD. SALEH dan NORDIN AHMAD

DALAM dua rencana yang lalu, pembaca telah diperkenalkan dengan dua bentuk perniagaan iaitu, perniagaan milik perseorangan dan yang satu lagi milik perkongsian. Kedua-dua bentuk perniagaan ini hanya didaftarkan dengan Pendaftar Perniagaan. Pendaftaran Perniagaan di atas tidak akan mewujudkan pertubuhan baru atau entiti yang berasingan dari pemiliknya. Setelah perniagaan milik perseorangan atau milik perkongsian berkembang, pelbagai masalah mungkin akan timbul. Di antaranya modal tidak lagi mencukupi, bank tidak dapat memberikan pinjaman tambahan dan rakan kongsi tidak lagi berkemampuan menawarkan tenaga dan modal tambahan. Berkemungkinan bilangan rakan kongsi telah mencecah angka maksimum 20 orang. Penukaran perniagaan milik perseorangan kepada perniagaan milik perkongsian mungkin tidak juga menepati keperluan perniagaan yang besar.

Perbadanan Korporat

Dalam situasi di atas, satu rancangan perniagaan yang lebih besar adalah lebih berkesan. Satu perbadanan korporat lebih relevan untuk mengendalikan rancangan perniagaan yang begitu kompleks. Badan korporat ini lebih berkemampuan mendapatkan tenaga mahir dan menarik lebih ramai para pelabur untuk melabur. Bank atau institusi kewangan akan lebih berani menambah pinjaman berdasarkan rancangan perniagaan yang baik.

Perbadanan korporat inilah yang disebut syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.). Ia ditubuhkan dengan Pendaftar Syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat). Syarikat Sdn. Bhd. mengasingkan entiti pemilik dan entiti perniagaan. Tiada pengasingan pemilik dan perniagaan dalam perniagaan milik perseorangan atau milik perkongsian.

Konsep perniagaan secara korporat telah bermula di England. Berniaga secara korporat telah mengalami evolusi sejak 500 tahun lalu. Ia sebagai sambutan kepada cabaran untuk memperbaiki cara dan teknik berdagang dan berniaga. Matlamatnya supaya pemilik perniagaan, pengurus perniagaan dan pelanggan terikat kepada undang-undang dan praktis yang melindungi mereka dalam usaha menjana keuntungan dan menikmati faedah bersama. Syarikat Sdn. Bhd. boleh di atas namanya sendiri mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak-pihak tertentu dan sebaliknya syarikat boleh dikenakan tindakan mahkamah oleh pihak yang menuntut. Syarikat juga boleh menandatangani dokumen-dokumen melalui wakil-wakil yang diberi kuasa dengan atau tanpa menggunakan cap mohor syarikat. Jadi, kuasa syarikat amat luas.

Prinsip tanggungan berhad adalah teras kepada penubuhan syarikat Sdn. Bhd. Semua pemilik (pemegang saham) syarikat Sdn. Bhd., dilindungi dari menanggung hutang piutang syarikat. Tanggungan mereka hanyalah melunaskan harga belian saham syarikat. Harta peribadi mereka adalah terlindung daripada tuntutan pemiutang jika syarikat dibubar atau gulung tikar.

Lembaga Pengarah dan Pengurusan:

Syarikat Sdn. Bhd. adalah badan korporat yang melibatkan beberapa pihak. Mereka terdiri daripada lembaga pengarah, setiausaha syarikat, para pemegang saham (ahli), juruaudit dan ejen cukai. Berbanding dengan perniagaan milik perseorangan atau milik perkongsian, syarikat Sdn. Bhd. boleh mendapatkan sumbangan modal dari sehingga 50 orang ahli (pemegang saham).

Bank atau institusi kewangan cenderung memberi pinjaman berganda modal syarikat Sdn. Bhd. kerana kedudukan kewangan syarikat Sdn. Bhd. dianggap lebih kukuh. Berbanding perniagaan atau perkongsian. Jangka hayat Syarikat Sdn. Bhd. juga adalah kekal.

Perniagaan bentuk Syarikat Sdn. Bhd. diusahakan di atas landasan Akta Syarikat dan peraturan lain yang berkaitan. Akta Syarikat mengandungi berbagai peruntukan yang perlu dipatuhi. Peruntukan ini merangkumi hal ehwal modal, kewangan, tugas-tugas dan tanggungjawab pengarah dan pegawai, audit, setiausaha syarikat sehinggalah peringkat siasatan dan penggulungan. Penggunaan tenaga pakar dan kakitangan profesional adalah teras kekuatan perbadanan korporat.

Organisasi syarikat Sdn Bhd. menggalakkan usaha berpasukan. Kerja secara berpasukan ini bukan sahaja di kalangan dalam syarikat tetapi juga di antara syarikat dengan pihak di luar syarikat. Ini adalah ciri yang penting dalam operasi pertubuhan perniagaan yang ditubuhkan dalam bentuk syarikat Sdn. Bhd.

Syarikat Sdn. Bhd. boleh diurus tadbir dengan baik berasaskan struktur undang-undang dan struktur perbadanannya. Penubuhannya adalah di bawah undang-undang Akta Syarikat dan peraturan berkaitan. Struktur pentadbiran dikawal selia berasaskan Tatawujud dan Tataurus Syarikat (Memorandum and Articles of Association). Dari segi organisasi, Lembaga Pengarah memberi arahan dan hala tuju, pengurusan melaksanakan arahan dan juruaudit mengawal ketelusan kedudukan kewangan syarikat. Pemegang saham pula berusaha menjaga kepentingan mereka melalui maklum balas dalam mesyuarat agung tahunan.

Syarikat Sdn. Bhd. juga ditubuhkan untuk memudahkan pengurusan harta atau perniagaan secara berkumpulan. Ia adalah badan yang boleh menghasilkan keadilan berasaskan keputusan bersama bercirikan demokrasi. Kepentingan mereka yang terlibat boleh diurus turun-menurun. Sebagai contoh, hartanah boleh dipindahkan kepada syarikat Sdn. Bhd. Pemilik hartanah tersebut masing-masing akan mendapat saham dalam syarikat berasaskan luas tanah dan nilai bahagian mereka. Syarikat memajukan tanah dan hasil boleh mereka nikmati melalui dividen dan nilai saham yang meningkat. Saham mereka pula mudah dipindahmilik kepada generasi seterusnya.

Pendaftaran perniagaan milik perseorangan atau milik perkongsian dibuat di pejabat Pendaftar Perniagaan. Penubuhan syarikat Sdn. Berhad dibuat di pejabat Pendaftar Syarikat. Pendaftar perniagaan dan Pendaftar Syarikat akan berada di bawah naungan Suruhanjaya Syarikat berkuat kuasa pada 1 Januari 2002.

Tidak banyak persediaan diperlukan untuk mendaftarkan perniagaan milik perseorangan. Berbeza dengan penubuhan syarikat Sdn. Bhd., persediaan yang rapi perlu dibuat. Semua persediaan ini perlu mengikuti prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Syarikat. Pentingnya nama perniagaan telah ditekankan dalam dua rencana yang lepas. Nama sama pentingnya dalam penubuhan syarikat Sdn. Bhd.. Kelulusan nama perlu diperoleh dari Pendaftar Syarikat terlebih dahulu sebelum borang dan dokumen penubuhan dikemukakan. Borang 13A dalam Akta Syarikat digunakan untuk carian dan mendapatkan kelulusan nama. Anda perlu membayar RM30 untuk setiap cadangan nama. Sebelum mencadangkan nama syarikat, anda perlu semak dalam sistem komputer Pendaftar Syarikat bahawa nama itu belum digunakan bagi mengelak pendaftaran nama yang serupa. Nama yang dicadangkan juga mestilah bukan tergolong dalam jenis-jenis nama yang tidak dibenarkan oleh Pendaftar Syarikat.

Persediaan yang perlu dibuat termasuk menyediakan Tatatubuh Syarikat dan Tatacara Syarikat; dua orang pengarah (minimum), dua orang pemegang saham (minimum) dan seorang setiausaha syarikat. Tatawujud Syarikat perlu mengandungi maksimum tiga aktiviti utama perniagaan syarikat. Tataurus Syarikat pula perlu disesuaikan dengan keperluan khusus pentadbiran dalaman Syarikat Sdn. Bhd.

Persediaan lain termasuk wang dari pemegang saham untuk pembelian saham pengasas (subscribers share) (minimum RM1 setiap seorang), wang yuran modal dibenarkan (RM1000) dan cukai setem yang dikenakan ke atas dokumen asal dan salinan Tatatubuh dan Tatacara Syarikat. Borang-borang di bawah Akta Syarikat yang perlu dilengkapkan ialah Borang 13A, Borang 48A (untuk setiap pengarah), Borang 6 (Akuan Berkanun oleh Setiausaha Syarikat) dan salinan kad pengenalan (untuk setiap pengarah dan setiausaha syarikat).

Selepas menerima Sijil Penubuhan (Borang 9) dari Pendaftar Syarikat, penyerahan Borang 24 (pengagihan saham), Borang 44 (pejabat yang didaftarkan) dan Borang 49 (daftar pengarah, pengurus dan setiausaha syarikat) perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat dalam masa satu bulan dari tarikh Sijil Penubuhan dikeluarkan.

Seperti juga perniagaan yang berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan, Syarikat Sdn. Bhd. perlu ada pejabat yang didaftarkan. Semua buku berkanun serta dokumen perundangan syarikat perlu disimpan di pejabat yang didaftarkan.

Syarikat Sdn. Bhd. boleh memulakan perniagaannya sebaik sahaja menerima Sijil Penubuhan berkuat kuasa dari tarikh sijil penubuhan tersebut. Ia tidak perlu memperoleh Sijil Memulakan Perniagaan seperti syarikat Berhad (Syarikat Awam). Bagaimanapun, sebelum memulakan operasi, syarikat Sdn Bhd perlu mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah yang pertama untuk membuat beberapa resolusi.

Mesyuarat pertama Lembaga Pengarah akan memutuskan pembukaan akaun bank, penerimaan cap mohor syarikat, firma juruaudit, bank, penasihat cukai, mengesahkan pelantikan pengarah-pengarah pertama, setiausaha syarikat pertama dan pengagihan saham kepada dua pemegang saham yang pertama.

Wujudnya syarikat Sdn. Bhd. memudahkan para usahawan dan peniaga merealisasikan idea dan kreativiti mereka. Usaha melalui syarikat perlu untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan global. Syarikat korporat memungkinkan usaha yang lebih kompetitif berasaskan perancangan dan strategi yang teratur. Contohnya, perniagaan makanan cap Adabi yang kini meluas di Malaysia. Ia cemerlang sebagai sebuah syarikat Sdn. Bhd. Begitu juga dengan Globe Silk Store. Ia menjadi berjaya dan terkenal sebagai syarikat Sdn. Bhd.

Ketelusan dan Pencapaian

Ketelusan pengurusan perbadanan korporat seperti syarikat Sdn. Bhd. adalah tuntutan wajib. Undang-undang memestikan syarikat merekod transaksi dan menyimpan buku-buku berkanun dan daftar. Di antaranya ialah buku akaun; daftar pengarah, pengurus dan setiausaha syarikat; daftar pemegang saham dan minit mesyuarat. Penyata Tahunan berserta Laporan Kewangan perlu diserahkan kepada Pendaftar Syarikat selepas setiap mesyuarat agung tahunan. Para usahawan bergantung kepada perbadanan korporat seperti syarikat Sdn. Bhd. untuk keberkesanan dan kelancarannya mencapai objektif misi dan visinya.

Pada kebiasaannya seorang setiausaha syarikat yang bertauliah dilantik untuk membantu menubuhkan syarikat Sdn. Berhad. Beliaulah yang mahir dalam hal ini. Ada manfaatnya jika kita juga mengetahui prosedur yang terlibat. Pengetahuan ini berguna untuk menolong kita memahami operasi perbadanan korporat. Ia juga boleh membantu anda dalam usaha memperbaiki urus tadbir korporat demi kejayaan sesuatu perniagaan.